Guru maut motosikal terbabas langgar tayar treler
JERANTUT - Seorang guru maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM)5 Jalan Jerantut-Maran-Kuantan dekat Batu 58 pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun beralamat Rumah Kilat Peringkat 2, Sungai Jan dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu treler dari arah Jerantut hendak ke tempat mengambil buah sawit di Batu 58.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler telah memberi isyarat untuk membelok ke kiri jalan.
"Tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Honda SYM dari arah belakang treler yang ditunggang oleh mangsa telah hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret seterusnya melanggar tayar tengah sebelah kiri treler terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kejadian terbabit turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!