Solari ada jawapan mengenai Arif Aiman

Arif Aiman
Arif Aiman
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim, Esteban Solari tidak risau mengenai persembahan Arif Aiman Mohd Hanapi yang dinilai ramai pihak kurang menyerlah ketika bermain bersama pasukan kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, baru-baru ini.

Menurut Solari, Arif Aiman telah terbukti mempunyai kualiti tersendiri dan menjadi perkara biasa untuk sesekali gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

"Bagi saya Arif Aiman menyinar setiap hari kerana saya melihatnya dalam sesi latihan dan setiap masa di kelab ini.

"Kadang-kadang memang agak sukar dalam pasukan kebangsaan kerana perlu bermain dengan sistem dan jurulatih yang berbeza selain rakan sepasukan juga mungkin kurang persefahaman," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC pada Rabu.

Dalam aksi menentang Syria dan China, Arif Aiman dilihat bergelut untuk menampilkan persembahan terbaiknya apabila gagal meledak sebarang gol dalam kedua-dua perlawanan itu.

Namun, persembahannya agak berbeza ketika kembali bersama JDT selepas dia mencetak nama selaku penjaring di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi untuk membantu Harimau Selatan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan.

Solari memuji impak yang ditunjukkan Arif Aiman selain komitmen pemain berusia 21 tahun itu yang tetap mahu diturunkan walaupun agak keletihan selepas bersama pasukan Harimau Malaya.

"Tidak mudah untuknya selepas menempuh perjalanan panjang dan dia agak letih tetapi tetap mahu bermain. Dia menjaringkan gol dan mencipta peluang.

Artikel Berkaitan:

"Dia mahu terus bermain, tetapi saya menarik dia keluar kerana mahu dia berehat untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!