Isu kekurangan beras: Siasat segera, elak sindrom penafian - Ronald
KUALA LUMPUR - Kerajaan diingatkan tidak berada dalam sindrom penafian berhubung isu bekalan beras putih tempatan.
Sehubungan itu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyiasat masalah berkenaan yang menjadi kegusaran rakyat.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu menjelaskan, Malaysia sepatutnya mengeluarkan 65 peratus beras tempatan dan mengimport 35 peratus beras.
“(Namun) sebahagian besar daripada 35 peratus beras import itu bukan beras putih tetapi beras wangi dan beras istimewa.
"Maknanya kita mengeluarkan kira-kira 1.5 juta metrik beras dan import 900,000 tan beras, jadi mana beras putih tempatan di pasaran sekarang.
“Ketika ini pengguna tidak dapat membeli beras putih tempatan pada harga RM2.60 satu kilogram (kg). Beras import dijual pada harga dalam anggaran RM3.60 hingga RM3.90 per kg. Sebab itu, saya kata kementerian terlibat perlu menyiasat kenapa kita tidak dapat memperoleh beras putih tempatan dalam pasaran,” katanya ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Isu kekurangan bekalan beras dan kenaikan harga beras import mendapat perhatian orang ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang mendakwa hanya menerima 50 hingga 100 kampit beras tempatan sehari berbanding 2,000 kampit sebelum ini.
Oleh yang demikian, Ronald menggesa kerajaan memulakan siasatan bagi mengenalpasti sekiranya berlaku manipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.
"Ataupun ada pihak kilang yang enggan memproses padi tempatan untuk dijual sebagai beras tempatan, kerana memproses beras dari luar lebih menguntungkan.
"Jadi kerajaan harus tidak dalam sindrom penafian tetapi melihat dan menyiasat perkara ini agar rakyat Malaysia dapat membeli beras tempatan dengan harga RM2.60 satu kilogram beras subsidi kerajaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!