Pengawal keselamatan melecur diserang dengan botol petrol

Tangkap layar rakaman CCTV di lokasi kejadian yang berlaku di sebuah gudang di Klang, Selasa. (Gambar kecil: Hoong Fong)
Tangkap layar rakaman CCTV di lokasi kejadian yang berlaku di sebuah gudang di Klang, Selasa. (Gambar kecil: Hoong Fong)
A
A
A

KLANG - Seorang pengawal keselamatan melecur di muka dan tangan selepas 'diserang' dengan botol disyaki berisi petrol yang dibakar di sebuah gudang di Taman Perindustrian Air Hitam dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika mangsa berusia 25 tahun itu tertidur di pos pengawal di gudang terbabit.

Menurutnya, lelaki tempatan itu yang tersedar selepas berlaku kebakaran berjaya menyelamatkan diri.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat melecur di muka, tangan kiri dan kanan.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di gudang terbabit mendapati terdapat dua suspek menaiki motosikal telah berhenti di depan pagar sebelum pembonceng membaling empat botol kaca ke arah pos pengawal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah ke lokasi kejadian untuk mengambil beberapa sampel bagi membantu siasatan.

Susulan itu, Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah menahan seorang lelaki pada jam 3 petang Rabu.

Katanya, suspek berusia 39 tahun itu telah direman tiga hari sehingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif dan mengesan suspek lain yang terlibat," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!