Pakar IT OKU derita katarak mata dibantu

Aiman Athirah (kiri) menziarahi Che Wan Zawawi (kanan) di rumahnya di Setapak pada Rabu. - Foto Facebook Ehailing.fm
Aiman Athirah (kiri) menziarahi Che Wan Zawawi (kanan) di rumahnya di Setapak pada Rabu. - Foto Facebook Ehailing.fm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kisah pakar teknologi maklumat (IT), Che Wan Zawawi Sulaiman, 45, yang merupakan orang kelainan Upaya (OKU) hilang sumber pendapatan kerana menghidapi penyakit katarak mata mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.

Hasil lawatan ke rumah keluarga terbabit pada Rabu, Aiman Athirah bersedia menghulurkan bantuan yang sepatutnya kepada Che Wan agar dia dapat meneruskan tanggungjawabnya menyara keluarga.

Aiman menerusi video yang disiarkan menerusi Facebook Ehailing.fm berkata, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) akan menghulurkan tabung bantuan segera RM300 selain beberapa lagi bentuk bantuan bulanan sehingga RM500 sebulan untuk OKU terlantar.

“Kita akan semak untuk lihat ruang lain yang boleh dibantu dan selepas proses pembedahan katarak berjaya, kita akan pertimbang untuk salurkan geran pelancaran perniagaan RM2,700 untuk klien JKM mulakan bisnes,” katanya pada Rabu.

Turut hadir menziarahi keluarga terbabit, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Menerusi perkongsian yang dibuat sebelum ini, masalah katarak mata kritikal yang dihadapi pakar IT itu menyebabkan beliau hilang punca pendapatan dan terpaksa menjual komputer ribanya untuk menyara isteri dan dua orang anaknya berusia tiga serta lima tahun.

“IT ini memerlukan mata untuk buat kerja gunakan komputer sepenuhnya, disebabkan itu saya tak mampu bekerja dan menyara keluarga apatah lagi membayar sewa rumah.

“Sekarang ini tuan rumah dah arahkan saya keluar kerana gagal bayar sewa sejak beberapa bulan lalu dan tempoh akhir bayaran ialah pada 15 September (esok),” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UTM) Skudai, walau bagaimanapun bersyukur kerana Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Petaling Jaya sudi membiayai pembedahan dan rawatannya matanya.

“Alhamdulillah, saya masih menanti tarikh dan masa untuk proses pembedahan dan rawatan ini dijalankan,”ujarnya

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7624408014 (Che Wan Noramiza) atau hubungi 014-6273315 untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!