Suami isteri maut, motosikal rempuh belakang trak tentera
SUNGAI PETANI - Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah trak tentera sebelum motosikal terbakar di Kilometer 87.0 Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penunggang motosikal dikenali sebagai Ridzuan Salleh@ Ramli, 41, bekerja sebagai tentera maut serta merta di tempat kejadian disebabkan mengalami kecederaan melecur di bahagian badan dalam kejadian jam 2 petang itu.
Pasangannya pula, Rosmawati Ismail, 39, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Hamid (HSAH), dekat sini pada 3.20 petang.
"Siasatan awal mendapati pasangan terbabit menaiki motosikal berkuasa tinggi sedang bergerak laju dari arah Alor Setar menghala ke Butterworth.
“Namun sebaik tiba di lokasi kemalangan penunggang dipercayai gagal mengelak trak tentera yang berada di hadapan lalu merempuh bahagian belakang trak terbabit.
"Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan motosikal terbabit terbakar di lorong kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Zaidy, mayat kedua-dua pasangan terbabit telah dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemandu dan penumpang kiri trak tentera tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat keluar menyelamatkan diri ketika motosikal terbakar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!