MyIDEA dilancar, mudahkan proses kesan, selamat mangsa bencana
KUALA LUMPUR - Sistem Maklumat Bencana (MyIDEA) yang dilancarkan hari ini akan digunakan sebagai satu platform bagi membolehkan misi penyelamatan mangsa terutama dalam kes bencana alam dapat dilaksanakan dengan pantas dan dikoordinasi lebih baik serta sistematik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, MyIDEA menggunakan teknologi satelit yang membolehkan misi penyelamatan dilakukan dengan lebih cepat dan teratur.
Beliau berkata menerusi aplikasi ini, mangsa yang terperangkap akibat banjir di lokasi tertentu dapat dikesan dengan lebih pantas dan tepat, memandangkan semasa kejadian banjir lokasi atau kedudukan tepat mana-mana tempat sekalipun amat sukar untuk dikenal pasti menerusi pemerhatian semata-mata.
"Dengan aplikasi ini, kita boleh tahu lokasi tepat mangsa, selain boleh kesan situasi secara tepat masa," katanya dalam sidang media selepas melancarkan MyIDEA di sini, hari ini.
MyIDEA yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) dibina untuk kegunaan agensi yang terlibat dalam mengurus dan memberi bantuan banjir yang membolehkan antara lain lokasi mangsa dapat dikesan kurang daripada lima minit, manakala tempoh penyelamatan dijangka dipercepat 50 peratus.
Ia digunakan untuk mengenal pasti situasi mangsa (Identify), mengesan lokasi sebenar (Detect), memastikan pengurusan menyelamat mangsa dikoordinasi dan dipantau (Ensure) dan mengarkib maklumat untuk paparan visual dan rujukan masa hadapan (Archive).
Sementara itu, Ketua Pengarah MySA, Azlikamil Napiah dalam sidang media sama berkata, keberkesanan MyIDEA bergantung kepada pengkalan data sesuatu kawasan yang memerlukan bantuan antara lain komuniti setempat untuk membangunkan pengkalan data masing-masing.
Disebabkan capaian internet diperlukan bagi menyokong platform itu, beliau tidak menolak kemungkinan memohon pihak seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau syarikat telekomunikasi untuk memasang menara pemancar di kawasan yang langsung tidak mempunyai capaian internet, sekiranya perlu.
Menerusi MyIDEA, pihak pengurusan bencana akan menghantar pautan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp kepada mangsa, dan mangsa perlu klik pautan itu, kemudiannya mengisi maklumat yang diperlukan seperti jumlah mangsa dan tahap kritikal keadaan mereka.
MyIDEA seterusnya akan mengesan lokasi mangsa menggunakan sistem satelit sebelum menghantar pasukan bantuan.
Melalui aplikasi ini, operasi SAR turut dapat diselia secara langsung, khususnya pergerakan pasukan penyelamat ke lokasi mangsa, selain mengoptimumkan aset bagi misi SAR dengan mengelakkan pertindihan pergerakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!