Agong berkenan baca surat rakyat Sabah Sarawak, akan serah kepada PM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan rakyat Sabah dan Sarawak kepada Seri Paduka Baginda sepanjang 11 hari pengembaraan Kembara Kenali Borneo yang berakhir semalam.

Istana Negara menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis memaklumkan Seri Paduka Baginda akan menyerahkan setiap surat dan petisyen berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut,” menurut Istana Negara.

Menerusi gambar yang dilampirkan dalam hantaran itu, turut kelihatan surat yang bertaip dan bertulisan tangan serta beberapa kad ucapan terima kasih dan kad ucapan Hari Kebangsaan.

Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas, melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Artikel Berkaitan:


Konvoi pengembaraan yang diketuai Al-Sultan Abdullah dan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta paduka anakanda bukan sahaja berjaya merealisasikan impian Seri Paduka Baginda berdua untuk menemui rakyat di Sabah dan Sarawak serta mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, bahkan pasangan diraja itu turut berkenan mendengar luahan dan rintihan rakyat. - Bernama.