Tiga wanita maut, 11 lagi cedera nahas tiga kenderaan

Keadaan pacuan empat roda yang terbabit dalam nahas tiga kenderaan Jalan Tenang Stesen, Labis pada petang Khamis. (Kanan: Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut)
Keadaan pacuan empat roda yang terbabit dalam nahas tiga kenderaan Jalan Tenang Stesen, Labis pada petang Khamis. (Kanan: Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut)
A
A
A

SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Tiga wanita warga emas maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 167 Jalan Johor Bahru - Seremban (Tenang), pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 5.40 petang melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, kereta jenis Honda Jazz dan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Toyota Hilux yang dinaiki seorang pemandu dan penumpang bergerak dari arah Johor Bahru ke arah Segamat cuba menukar lorong dari kanan ke lorong kiri, namun gagal masuk sepenuhnya sebelum dilanggar dari belakang sebelah kiri oleh Honda Jazz yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, Toyota Hilux telah terbabas ke arah jalan bertentangan lalu melanggar Perodua Alza yang sedang bergerak dari arah Segamat ke Johor Bahru.

“Dalam kejadian ini tiga penumpang Perodua Alza iaitu wanita warga emas masing-masing berusia 89, 66, dan 62 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Perodua Alza berusia 30 tahun dan enam penumpang berusia lingkungan satu hingga 38 tahun termasuk pemandu dan penumpang Toyota Hilux mengalami kecederaan. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Segamat bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu dan penumpang Honda Jazz dipercayai tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa terlibat dalam nahas tiga kenderaan Jalan Tenang Stesen, Labis pada petang Khamis.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa terlibat dalam nahas tiga kenderaan Jalan Tenang Stesen, Labis pada petang Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II, Zakaria Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.16 petang.

Katanya, satu jentera FRT, satu jentera EMRS dari BBP Labis serta satu jentera LFRT dan satu jentera EMRS dari BBP Bandar Baru Segamat dengan 18 anggota bomba dihantar ke lokasi.

“Terdapat 14 mangsa terlibat dalam kemalangan iaitu 10 mangsa dari Perodua Alza, dua (Toyota Hilux) dan dua dari kereta Honda Jazz manakala tiga mangsa dari Perodua Alza telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Lain-lain mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital berhampiran (Hospital Segamat) bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sekitar jam 6.26 petang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!