Jangan ‘mengagungkan’ pesalah jalan raya
PADA Rabu, tular video di media sosial menunjukkan seorang penunggang p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita oleh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Negeri, Nilai, Negeri Sembilan, sekali gus mengundang kecaman netizen.
Kisah Muhammad Shahrul Shah, 26, mendapat perhatian. Ramai yang menyalahkan tindakan pihak JPJ. Ada yang mengatakan pihak berkuasa tidak berhati perut, tiada perikemanusiaan dan langsung tidak mahu menggunakan budi bicara ketika mengambil tindakan.
Bagaimanapun, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dalam satu kenyataan menjelaskan cukai jalan motosikal ditunggang lelaki tersebut didapati telah tamat tempoh sejak Februari lalu, selain tiada insurans.
Menurutnya, tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.
Dalam hal ini, orang ramai tidak sepatutnya menyalahkan pihak JPJ yang menguatkuasakan undang-undang jalan raya kerana ia bertujuan mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
Masyarakat jangan menormalisasikan sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh adalah satu kesalahan.
Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati. Jangan mengagung-agungkan individu yang jelas melanggar peraturan jalan raya.
Bayangkan, sudah berbulan-bulan cukai jalan dan insurans tamat tempoh, adakah JPJ perlu kompromi lagi dan mengambil sikap ‘berlembut hati’?
Penguat kuasa JPJ menjalankan tugas dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang jalan raya.
Di satu pihak lagi, tugas penghantar makanan itu memang terpuji kerana mencari rezeki yang halal, namun hal berkaitan pelanggaran undang-undang adalah serius dan tidak boleh ‘dihalalkan’.
Justeru, ambillah iktibar dan pengajaran daripada kejadian ini. Pengguna jalan raya perlu sentiasa beringat bahawa cukai jalan dan insurans penting kerana apabila berlaku kemalangan, diri sendiri serta kenderaan termasuk individu lain akan dilindungi.
Sebaliknya jika gagal berbuat demikian dan ditakdirkan pula berlaku kemalangan serta melibatkan kematian, orang lain tidak boleh membuat tuntutan insurans. Jadi, janganlah merisikokan diri dan patuhilah undang-undang jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!