Petronas 'pemilik' jersi utama LTdL
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah mampu 'tidur lena' selepas secara rasmi mengumumkan mengikat penajaan dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi menganjurkan Le Tour de Langkawi (LTdL).
Kehadiran Petronas sebagai penaja perdana LTdL selama tiga tahun berturut-turut mulai edisi 2023 bagaikan satu rahmat buat Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur perlumbaan berstatus ProSeries itu.
Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampak gembira dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan syarikat gergasi minyak dan gas multinasional Malaysia itu biarpun beliau tidak mendedahkan jumlah nilai tajaan.
“Jumlah tajaan itu di bawah persetujuan kita (KBS dan Petronas)... tak boleh dedahkan tetapi saya juga berharap jumlah tajaan itu akan berubah setiap tahun.
“Berdasarkan nilai pulangan kepada penaja (Petronas), saya rasa MSN mampu melaksanakan yang terbaik. Itu sebabnya Kabinet (kerajaaan) telah menyerahkan tugas ini kepada MSN sebagai agensi pelaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Penajaan LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz; Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.
Dalam ucapannya sebelum itu, Hannah memaklumkan, jumlah yang diperuntukkan KBS di peringkat awal hanya berjumlah RM8 juta bagi menjayakan perlumbaan edisi ke-27 tahun ini.
Menurutnya, MSN memerlukan bajet yang jauh lebih besar sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menganjurkan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu dengan kualiti 'kelas dunia'.
Ketika ditanya sama ada bajet yang sedia ada sudah cukup bagi menghangatkan LTdL 2023, Hannah berkata; “Apa yang saya tahu setakat tahun ini, semua sudah okay.
“Saya percaya tahun depan apabila kita ada lebih banyak masa lagi, penajaan tersebut mungkin akan melebihi apa yang kita dapat tahun ini,” jelasnya.
Kehadiran Petronas sebagai penaja perdana menyaksikan mereka diberikan 'hak nama' kepada acara dengan logo rasmi turut ditukar kepada Petronas LTdL 2023.
Lebih menarik, Petronas akan turut menaja jersi pendahulu keseluruhan LTdL yang memasuki edisi ke-27 tahun ini yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September.
“Sebagai penaja perdana, pulangan kepada kami lebih daripada apa yang kami berikan seperti nilai daripada media, pelaburan kepada atlet Malaysia dan juga pelancongan sukan.
“Kerjasama ini mencerminkan tekad Petronas untuk turut serta membina masa depan yang lebih gemilang bagi sukan berbasikal negara bersama-sama KBS dan MSN,” ujar Anita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!