Gaji rendah bukan alasan lakukan rasuah
SHAH ALAM - Penjawat awam tidak sepatutnya menggunakan gaji rendah sebagai alasan untuk melakukan rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, perkara itu dapat dielakkan sekiranya mereka menjalani kehidupan mengikut kemampuan.
Katanya, mereka perlu mengubah cara pengurusan kewangan yang lebih bersederhana mengikut tangga gaji selain mempunyai jati diri.
"Kalau berbelanja di luar kemampuan sudah pasti duit tidak cukup, datang pula ruang dan peluang untuk mengambil rasuah, ia seolah-olah seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
"Jadi mereka akan mengambil jalan pintas untuk selesaikan masalah dengan menerima wang rasuah. Mereka tidak fikir kesan daripada perbuatan tersebut," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung seramai sembilan anggota penguat kuasa sebuah agensi di Kedah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan dan 'runner' antara tahun 2018 hingga 2021.
Menurut sumber SPRM, anggota penguat kuasa berkenaan disyaki menerima rasuah terbabit sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Katanya, turut ditahan dua orang awam yang dipercayai memberi rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.
Tambah Jais, bagaimanapun ia berbalik kepada diri sendiri dan tahap keimanan seseorang.
"Saya percaya setiap orang mempunyai iman dalam diri terutamanya bagi umat Islam. Jadi mereka sepatutnya sedar rasuah ini salah.
"Bukannya tiada ceramah berkaitan dengan rasuah namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Semua itu terpulang pada diri masing-masing," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!