Elavarasan kalis kritikan
KRITIKAN segelintir penyokong bola sepak tempatan terhadap corak taktikal ketika mengendalikan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara disifatkan perkara biasa.
Malah pengendali Harimau Muda, E Elavarasan akan tetap fokus dalam meningkatkan prestasi skuad muda negara menjelang pusingan akhir Kejuaraan Piala Asia B-23 2024.
Elavarasan juga menegaskan mempunyai keupayaan untuk melonjak semula prestasi Harimau Muda dalam kempen di Qatar tahun depan di sebalik desakan segelintir penyokong yang mahu dia berundur.
“Kritikan dan cemuhan merupakan perkara biasa yang perlu dihadapi setiap jurulatih dalam proses membentuk sebuah pasukan yang mantap.
“Untuk saya, (kritikan) tiada masalah. Sebab saya pernah cakap semua ini adalah proses membina pasukan yang mengambil masa.
“Saya juga ucapkan tahniah kepada para pemain kerana jika mereka tidak beraksi dengan baik dalam dua perlawanan awal (kempen kelayakan), bagaimana kita hendak dapat slot ini (ke Piala Asia)?” katanya pada Rabu.
Segelintir penyokong bola sepak negara meminta supaya Elavarasan diganti selepas Harimau Muda bergelut untuk mengesahkan kemaraan ke Piala Asia B-23 selaku naib juara keempat terbaik kumpulan.
Pengendali berusia 61 tahun itu juga sebelum ini dikritik selepas gagal mengemudi Harimau Muda mencapai sasaran final di Sukan SEA Kemboja 2023 dan Piala AFF B-23 bulan lalu.
Dalam pada itu, Elavarasan mengakui mempunyai perancangan rapi dalam memantapkan mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23.
Menurutnya, pihaknya akan mengadakan latihan berperingkat dalam usaha mempersiapkan pasukan sekali gus tampil dengan persembahan lebih baik pada kejohanan tertinggi Asia itu.
“Kita harap kelab-kelab dapat melepaskan para pemain dalam latihan berperingkat bagi membolehkan kita membentuk pasukan benar-benar mantap.
“Sejujurnya, kita tidak mempunyai banyak masa bersama para pemain dan hanya pada kalendar FIFA sahaja dapat bersama dengan mereka semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!