Baju panas milik Puteri Diana dilelong pada harga RM5.34 juta

Baju panas milik Puteri Diana yang dilelong pada harga RM5.34 juta oleh Sotheby's. - Foto Twitter/Sotheby's
Baju panas milik Puteri Diana yang dilelong pada harga RM5.34 juta oleh Sotheby's. - Foto Twitter/Sotheby's
A
A
A

BAJU panas dimiliki Puteri Diana yang memaparkan seekor kambing biri-biri hitam bersama beberapa ekor kambing biri-biri putih dijual pada harga AS$1.14 juta (RM5.34 juta) dalam satu lelongan oleh Sotheby's di New York.

Lelongan itu dibuka pada 31 Ogos lalu dan tawaran awal kekal pada harga AS$200,000 (RM936,400) sehingga ia dinaikkan pada saat akhir pada Khamis.

Sebelum lelongan itu dibuka, Sotheby's menganggarkan "baju panas kambing biri-biri" itu akan dijual sekitar harga AS$50,000 hingga AS$80,000.

Identiti pemenang lelongan itu tidak didedahkan.

Baju panas berkenaan, yang ditemui pada bulan Mac lalu, antara beberapa objek milik 'Puteri Rakyat' itu yang dilelong dalam beberapa tahun sejak kebelakangan itu.

Reka bentuk baju panas itu sering dikatakan sebagai simbolik kedudukan Diana dalam keluarga diraja Britain.

Pada tahun 2022, kenderaan milik Diana, sebuah kereta jenis Ford Escort, dilelong pada harga AS$806,000 (RM3.77 juta).

Barang kemas Attallah Cross dengan batu kecubung (amethyst) yang sering dipakai Diana, dijual kepada Kim Kardashian pada harga AS$203,000 (RM950,000) dalam satu lelongan pada Januari lepas. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!