Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan bermula Jun tahun depan

Gambar dari kiri: Najib dan Mohd Irwan
Gambar dari kiri: Najib dan Mohd Irwan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan perbicaraan kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bermula 4 Jun tahun depan.

Prosiding selama 30 hari itu ialah pada 4 hingga 6, 10 hingga 13, 19 dan 20, 24 hingga 27 Jun manakala pada Julai bermula 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memulakan prosiding dengan memohon kepada Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang mendengar kes ini supaya menetapkan tarikh prosiding tersebut terlebih dahulu.

Bekas Perdana Menteri dalam kes ini diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam, Datuk K Kumaraendran bagi pihak Mohd Irwan yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan dan pembelaan tidak menyentuh langsung representasi kedua yang dimohon oleh Najib dan Mohd Irwan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam tuduhan yang dihadapi mereka.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk pertuduhan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk pertuduhan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Perkara itu ialah mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kementerian Kewangan, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB.

Pada awal Ogos lalu, Najib mengemukakan representasi kedua agar AGC mengkaji enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ia susulan representasi pertama yang dikemukakan pada tahun 2021 melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co, ditolak setahun kemudian.

Representasi kedua Najib ini melibatkan jumlah dokuman yang banyak dan sama dengan lampiran dalam representasi kedua yang dikemukakan oleh Mohd Irwan.

Mohd Irwan ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mohd Irwan ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Pada 3 Mac 2022, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!