Parkir merata, 25 motosikal kena angkut DBKL
KUALA LUMPUR - Sebanyak 25 motosikal diangkut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kesalahan halangan dan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, ada antara motosikal berkenaan diletakkan di siar kaki dan laluan orang kurang upaya (OKU) selain tidak mengendahkan papan tanda larangan parkir motosikal.
Menurutnya, penguatkuasaan tersebut dijalankan di lokasi tumpuan termasuk Jalan P Ramlee, Persiaran KLCC dan Jalan Ampang pada Khamis.
"Kesemua 25 motosikal tersebut dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tahanan sementara.
"Dalam operasi sama, sebanyak 35 notis kompaun turut dikeluarkan ke atas kenderaan yang didapati melanggar isyarat lalu lintas.
"Penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada kenyataan sama, DBKL mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
"Pastikan kenderaan (motosikal /kereta) diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!