Tadah besen, alih tilam setiap kali hujan
JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal sebak setiap kali melihat anak dan ibu bapanya bergegas mencari perlindungan apabila air masuk ke dalam rumah setiap kali hujan di Kampung Seri Bahagia, Plentong di sini.
Siti Rahayu Saidon, 34, yang menumpang di rumah ibu bapanya itu berkata, keadaan tersebut berpunca daripada bumbung sudah bocor.
"Kami bukan saja beralih tempat tidur malah terpaksa menyediakan beberapa besen bagi menadah hujan kerana tidak mampu membaik pulih bumbung yang bocor.
"Kami terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa terutamanya pada musim hujan kerana dalam rumah akan dipenuhi tong dan besen yang digunakan untuk menadah air hujan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin; wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Nasir Ishak dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam.
Keluarga berkenaan menerima sumbangan wang tunai daripada agensi berkaitan selain barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasar Raya Econsave.
Selain Siti Rahayu bersama tiga anak dan ibu bapanya, rumah orang tuanya yang berusia lebih 30 tahun itu juga dihuni dua adik lelakinya.
Mereka yang menghuni di rumah itu berusia antara tujuh bulan sehingga 60 tahun.
Sebelum ini dia tinggal di rumah sewa di kampung yang sama, namun terpaksa berpindah ke kediaman ibu bapanya itu selepas suaminya, Md Firdaus Md Arif, 42, meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.
"Kehidupan kami berubah selepas suami yang merupakan tukang masak meninggal dunia akibat serangan jantung sebulan lalu.
"Kami bukan saja hilang tempat tinggal selain hilang sumber pendapatan.
"Ahli keluarga saya memberi kebenaran untuk tinggal di kediaman ini selain buat masa ini mereka turut mengurus serta menanggung segala perbelanjaan anak-anak," katanya.
Siti Rahayu berkata, anak sulungnya, Nur Alisha Balqis adalah berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami lumpuh separuh badan sejak kecil lagi akibat jangkitan kuman dalam otak.
"Anak kedua, Nur Alisha Humaira berusia tiga tahun dan anak lelaki bongsu, Muhammad Arif Amsyar berusia tujuh bulan.
"Muhammad Arif Amsyar yang menjalani pembedahan bagi menebuk lubang dubur pada Julai lalu masih menggunakan beg stoma serta anggaran kos untuk tempoh dua minggu iaitu 15 keping beg stoma ialah RM300," ujarnya.
Dia berkata, kedua orang tuanya bukan orang senang apatah lagi bapanya menghidap strok manakala ibu pula tidak bekerja dan mereka bergantung kepada pendapatan dua adik lelakinya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang.
"Pendapatan cukup-cukup makan sahaja. Kami tidak mampu untuk membaik pulih rumah ini yang hanya memiliki sebuah bilik kecil.
"Pada hari hujan kami terpaksa mengalihkan tilam pada waktu malam selain menadah air hujan bagi mengelakkan rumah banjir," katanya.
Sementara itu, Khairin-Nisa berkata, kediaman itu yang mengalami kebocoran bumbung itu perlu dibaik pulih demi keselesaan dan keselamatan penghuninya.
Bantuan yang bersesuaian katanya, akan diambil dan diharap keluarga berkenaan terus tabah dengan ujian tersebut.
JKM katanya, akan memberikan bantuan kanak-kanak sebanyak RM550 kepada anak Siti Rahayu sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Siti Rohayu menerusi akaun Maybank miliknya 151539078469.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!