Zambry ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak G77+China

Dr Zambry Abdul Kadir - Foto Bernama
Dr Zambry Abdul Kadir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan 77 dan China (G77+China) dari 15 hingga 16 September di Havana, Cuba.

Beliau dijangka menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia semasa Perbahasan Umum yang antara lain akan mengetengahkan pemacu dan minat Malaysia dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), perubahan iklim, jurang digital, serta kerjasama Selatan-Selatan dalam sains, teknologi dan inovasi.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, sidang kemuncak bertemakan 'Current Development Challenges: The Role of Science, Technology and Innovation' itu akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran utama dan isu pembangunan teras di Selatan.

"Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan G77+China ini menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama Selatan-Selatan, dalam usaha bersama untuk masa depan generasi akan datang yang mampan," menurut kenyataan itu.

Zambry juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari beberapa Negara Anggota G77+China.

G77+China ialah organisasi antara kerajaan terbesar dalam kalangan negara membangun di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyediakan platform bagi negara-negara Selatan untuk menyuarakan, mempromosi dan memajukan kepentingan ekonomi secara kolektif serta kerjasama untuk pembangunan.

Malaysia adalah antara ahli pengasas kumpulan itu.

Semasa Sidang Kemuncak itu, dokumen bertajuk 'Havana Declaration on Current Development Challenges: The Role of Science, Technology and Innovation' dijangka diterima pakai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!