Memo dalaman kes pecah amanah Najib, Irwan, TPR kata tiada komen
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) enggan mengulas mengenai ‘memo dalaman’ yang mengesyorkan pengguguran kes pecah amanah (CBT) RM6.6 bilion membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata “tiada komen” semasa sebutan kes CBT dana kerajaan yang digunakan sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) membabitkan Najib, 70, dan Irwan, 67, di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Muhammad Jamil menyoal perkara itu kepada pihak pendakwaan, selepas isu tersebut dibangkitkan oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib supaya menjelaskan kesahihan dokumen terbabit.
Sebelum ini, suatu dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman' AGC oleh pasukan pendakwaan kes IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 tular di media sosial.
Dokumen tersebut menyentuh enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Irwan berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah bagi mendapatkan kes prima facie.
Memo itu dikatakan dihantar oleh ketua pendakwaan, Datuk Jamil Aripin kepada Tan Sri Tommy Thomas, yang ketika itu merupakan Peguam Negara (AG).
Semasa prosiding, Muhammad Shafee berkata, memo itu boleh didapati dalam domain awam dengan menyatakan, Jamil yang bertugas bersama tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat, sebulat suara dalam mengambil pendirian bahawa pertuduhan itu sebagai ‘tiada harapan’.
“Bagi membuktikan pembelaan ini, kami minta pihak pendakwaan memberitahu sama ada dokumen yang bocor ini benar, wujud dan tulen.
“Memo berkenaan menjadi relevan kerana kes itu menjadi suatu penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan politik kerana Tommy sendiri mengakui telah dilantik ke jawatan itu kerana pengaruh tersebut,” katanya.
Sementara itu, peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, isu tersebut tidak wajar ditimbulkan di mahkamah, ketika di peringkat ini.
Beliau kemudian mencadangkan, semua Individu yang dinyatakan dalam memo tersebut dipanggil memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!