Djokovic impi emas Olimpik
BINTANG sensasi, Novak Djokovic memasang impian besar untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris tahun depan selepas merangkul gelaran ke-24 Grand Slam baru-baru ini.
Bagaimanapun pemain berusia 36 tahun itu sedar dia perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental.
Pencapaian terbaik pemain Serbia itu dalam temasya terbesar dunia tersebut ialah apabila memenangi gangsa di Beijing pada 2008.
Bagaimanapun, sentuhannya tidak menjadi di London pada 2012, Rio 2016 serta Tokyo dua tahun lalu dan Djokovic bakal mencecah usia 37 tahun pada 2024 dilihat masih cergas untuk memberi cabaran di Paris tahun depan.
“Rancangan saya buat masa ini adalah untuk bermain di Sukan Olimpik dan saya berharap akan dapat bermain.
“Saya akan bersedia daripada segi fizikal dan mental,” kata Djokovic.
Dia ketika ini berada di Valencia untuk beraksi dalam saingan Piala Davis beberapa hari selepas kejayaannya di Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Djokovic beraksi cemerlang selepas merangkul tiga gelaran Grand Slam pada tahun ini.
Pemain nombor satu dunia itu juga mara ke final Wimbledon awal tahun ini, namun tewas dalam pertarungan lima set kepada Carlos Alcaraz.
Di sebalik kekalahan itu dia menegaskan akan terus beraksi dalam sukan tenis.
Menjelang Sukan Olimpik, Djokovic juga mengakui akan mengharungi jadual perlawanan yang padat.
“Ia akan menjadi jadual yang sangat padat dan mencabar tahun depan dengan saingan Roland Garros di atas tanah liat, Wimbledon di atas rumput, Olimpik di atas tanah liat dan kemudian Terbuka AS dan kejohanan sebelum itu di gelanggang keras.
“Ia akan mencabar pemain, tetapi rancangan saya adalah untuk bermain di Olimpik kerana ia adalah salah satu acara paling penting dalam sejarah sukan itu.
Anda juga akan mewakili negara dan ia satu penghormatan yang besar,” ujar Djokovic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!