Taylor swift 'date' abang bola
PENYANYI Taylor Swift nampaknya tidak menunggu lama untuk mencari teman lelaki baharu selepas hubungannya dengan vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy tidak menjadi.
Terbaharu, pelantun I Can See You itu dilaporkan dalam proses mengenali pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce dan telah bertemu secara senyap-senyap sejak beberapa minggu lalu.
Difahamkan, Kelce sebelum ini sudah beberapa kali mencuba memberikan nombor telefon kepada Swift tetapi gagal berbuat demikian.
"Taylor dan Travis telah melepak secara senyap-senyap.
"Dia bertemu ketika Kelce berada di Bandar New York beberapa minggu yang lalu," ujar sumber terdekat penyanyi itu.
Bagaimanapun wakil Kelce dan Swift, yang kedua-duanya berusia 33 tahun enggan memberikan sebarang respons ketika ditemu bual Page Six.
Walaupun kedua-duanya masih belum mengesahkan perkara itu, Kelce tidak menafikan berada di New York pada 31 Ogos yang lalu untuk sesi podcast miliknya.
Apabila abangnya bertanyakan apa aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di sana, Kelce hanya berpura-pura tidak mengingatinya.
"Apakah yang saya lakukan? Saya tidak ingat. Saya rasa saya tidak banyak melakukan aktiviti," ujarnya yang kemudiannya mengakui berada di New York dan mengubah topik perbualan.
Sebelum ini, Swift telah melalui episod putus cinta dengan Joe Alwyn selepas enam tahun menjalinkan hubungan.
Mahu membuktikan dia segera 'move on', Swift kemudiannya tampil mesra dengan Healy, tetapi hubungan itu dikatakan hanya sekadar suka-suka buat Swift.
Sementara itu, Kelce juga baru putus cinta setelah menjalinkan hubungan selama lima tahun bersama model Kayla Nicole.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!