Haaland, Messi bersaing rebut Anugerah Terbaik FIFA
PEMAIN sensasi, Erling Haaland mengetuai enam pemain yang membantu Manchester City memenangi treble pada musim 2022-23 sebagai antara calon pemain lelaki terbaik pada majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Selain pemain berusia 23 tahun itu turut tersenarai ialah Julian Alvarez, Kevin de Bruyne, Ilkay Gundogan, Rodri dan Bernardo Silva.
Mereka merupakan antara 12 pemain yang bersaing untuk merebut anugerah pemain terbaik itu.
Pemenang dua kali bintang sensasi, Lionel Messi dan Kylian Mbappe juga antara senarai pemain yang tercalon untuk menerima anugerah berprestij itu bersama Declan Rice dari England.
Turut tersenarai ialah Khvicha Kvaratskhelia (Georgia/Napoli), Victor Osimhen (Nigeria/Napoli) dan Marcelo Brozovic (Croatia/Al Nassr).
Dalam pada itu, jurulatih Manchester City, Pep Guardiola menjadi calon untuk anugerah jurulatih terbaik tahun ini.
Dia berdepan saingan daripada tiga pengurus lain termasuk bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Celtic, Ange Postecoglou.
Messi yang mengemudi Argentina muncul juara Piala Dunia di Qatar akhir tahun lalu ialah pemegang anugerah pemain terbaik sebelum ini.
Bintang sensasi, Cristiano Ronaldo yang memenangi dua edisi pertama anugerah itu tidak dicalonkan selepas menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr pada Disember lalu.
Rice, 24, menjadi pemain Inggeris pertama memenangi anugerah tersebut.
Ederson dari Manchester City dicalonkan sebagai penjaga gol terbaik bersama penjaga gol Manchester United, Andre Onana.
Senarai calon yang itu disenarai pendek dan dipilih oleh panel pakar bola sepak yang turut membabitkan bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba.
Undian untuk anugerah tahunan buat kali kelapan itu sudah dibuka pada Khamis di Fifa.com dan ditutup pada pertengahan Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!