Pengedaran al-Quran gagasan penting penghayatan Islam, martabatkan negara

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pengedaran al-Quran yang dilakukan Malaysia ketika ini adalah gagasan penting kepada penghayatan Islam selain memartabatkan umat dan negara.

Berucap pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di sini pada Jumaat, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia memberikan respons terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden dengan mengedarkan kitab suci umat Islam ke negara tersebut.

Beliau turut menegaskan usaha menangani Islamophobia di luar negara perlu dibuat dengan mendidik dan memberi kefahaman tentang Islam serta al-Quran.

"Ini caranya (pengedaran al-Quran) dan saya yakin harus ada peningkatan kefahaman dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.

"Apa yang berlaku adalah percaturan dan pertembungan bukan berdasar ilmu tetapi kejahilan iaitu clash of ignorance,” katanya.

Pada 27 Januari lepas, Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden.

Sementara itu, Anwar berkata, penerbitan, percetakan al-Quran dan terjemahan yang dilakukan ketika ini memberi mesej bermakna mengenai keupayaan memaknai kitab suci itu supaya diberi petunjuk.

Beliau turut menekankan bahawa gagasan Madani diperkenalkannya juga adalah elemen penting dalam penghayatan Islam di negara ini

Artikel Berkaitan:

"Ini saya cuba ungkap dalam Madani, walaupun ia rangkul soal negara, tata kelola, kemampanan ekonomi termasuk ihsan dan amanah tetapi soal nilai akhlak jadi teras tertentu untuk agama khususnya al-Quran,” katanya.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Hari ini, beliau melancarkan tiga kontena al-Quran yang akan membekalkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan bahasa Inggeris, diiringi dengan terjemahan bahasa Cina ke tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!