'Ibu mimpi arwah ayah, abang ajak ke alam lain' - Anak

Fatimah menunjukkan gambar ibunya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HDS, Segamat, pada Jumaat
Fatimah menunjukkan gambar ibunya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HDS, Segamat, pada Jumaat
A
A
A

SEGAMAT - "Ibu sebelum ini ada beritahu arwah ayah dan arwah abang kerap 'datang' dalam mimpinya berpakaian serba putih dan mengajaknya ke alam lain".

Demikian kata Norsinah Embok Hitam, 45, anak kepada Allahyarham Fatimah Ismail, 66, yang maut dalam kemalangan mengorbankan tiga warga emas di Jalan Johor Bahru -Seremban di sini pada Khamis.

Norsinah berkata, perkara pelik tersebut diceritakan arwah ibu kepadanya dua hari sebelum kemalangan tersebut.

"Arwah ibu juga beritahu dia diajak menyusul mengikuti arwah ayah, Embok Hitam dan abangnya, Mohd Jamal ke dunia lain.

"Kemalangan ini menyebabkan saya kini hilang tiga insan tersayang dalam tempoh singkat.

"Selepas arwah ayah dan abang meninggal dunia beberapa tahun lalu, ibu saya menumpukan sepenuh perhatian menyantuni anak cucu," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini pada Jumaat

Norsinah adalah anak tunggal kepada Fatimah dan cucu kepada, Indok Akok, 89, dan anak saudara Tahallah Abd Fatah, 62, iaitu tiga wanita warga emas yang meninggal dunia petang Khamis akibat terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di sini.

Dalam kejadian petang Khamis, Fatimah parah di beberapa bahagian badan dan kepala selepas Perodua Alza yang dinaikinya bersama 10 ahli keluarga dirempuh pikap Toyota Hilux ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kerimun, Benut, Pontian.

Artikel Berkaitan:

Semua jenazah dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Karimun, Benut selepas solat Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan tiga mangsa maut menaiki Perodua Alza adalah Indok Akok Dg Sitakak, 89, Tahallah Abd Fatah, 62 dan Fatimah Ismail, 66.

"Mangsa lainnya yang terbabit nahas tiga kenderaan itu dirawat di HDS," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!