'Sepatutnya Muhyiddin jadi MB Johor'
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A
Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perbahasan Muhyiddin telah menarik perhatiannya, malah cadangan terhadap beberapa perkara melibatkan negeri ini disifatkan sebagai amat baik dan disetujui.
"Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin yang menjadi Menteri Besar Johor, namun oleh kerana beberapa kekangan yang dialami beliau, negeri ini terpaksa ‘settle for lesser than less’," katanya di sini, hari ini.
Perkara itu dinyatakan olehnya dalam satu penulisan sebagai mengakhiri artikel terdahulu yang bertajuk 'A fine line between democracy and kakistocracy'.
Hasni berkata, Johor mempunyai banyak potensi yang boleh diterokai dan dibangunkan, namun sebuah kerajaan kakistokrasi membantutkan semua usaha tersebut.
Katanya, oleh itu, perkara dicadangkan dalam perbahasan Muhyiddin telah memberikan banyak hikmah dan manfaat kepada negeri ini, walaupun dikelilingi kepimpinan yang tidak berpengalaman.
"Benarlah kata orang, pokok gambir itu sendiri banyak gunanya. Selain telah memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor suatu ketika dahulu, daripada daun sehingga hampasnya, sentiasa memberi manfaat kepada makhluk sekeliling.
"YB Gambir telah memberikan banyak hikmah dan manfaat kepada negeri Johor, meskipun dikelilingi barisan kepimpinan negeri yang tidak berpengalaman, amatur, tidak cekap dan yang amat malang lagi, kerajaan yang masih berlagak seperti pembangkang," katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa perkara dicadangkan Muhyiddin dalam penulisan itu iaitu mengatasi kerenah birokrasi program dan inisiatif kerajaan; sokongan memudah cara bagi pembangunan di Bandar Universiti Pagoh.
Selain itu, saranan agar kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik, mendukung undang-undang, mengelakkan rasuah, dan campur tangan tidak munasabah daripada mana-mana pihak.
Turut dinyatakan cadangan Muhyiddin supaya kerajaan negeri melaksanakan 'Reformasi Perkhidmatan Awam' selain penubuhan Majlis Ekonomi Johor.
Ketua Pembangkang Johor itu berkata, pembangkang sebenarnya berhasrat untuk mahu bersama membina keupayaan negeri di dalam sistem dan nilai demokrasi yang subur, namun tidak dipandang serius oleh kerajaan negeri.
Hasni turut menzahirkan rasa kecewanya terhadap hujah segelintir Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor pada persidangan tersebut.
"Jika kita lihat hujah-hujah sesetengah YB Exco kerajaan negeri sekarang, saya berasa amat kecewa.
"Rata-rata mereka memberikan jawapan separuh masak dan setakat melepaskan batuk di tangga. Kita boleh menilai sendiri jawapan ‘orang buat kerja’ atau mereka yang hanya membaca dari teks yang disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!