Himpunan Selamatkan Malaysia: Cara rakyat luah tidak puas hati
KOTA BHARU - Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu merupakan satu tindakan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mendakwa, banyak masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan termasuk tiada hala tuju yang jelas dalam tempoh sembilan bulan pemerintahan.
Bagaimanapun, setakat ini katanya, parti itu tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi untuk mengikuti perhimpunan aman berkenaan.
"Saya tidak telibat dalam perbincangan cuma apa yang saya faham ialah perhimpunan sebagai suatu penyataan perasaan rakyat terhadap kerajaan hari ini.
"Bagi kita tidak ada masalah sebab ini cara rakyat meluahkan perasaan. Tiada larangan dan tiada arahan untuk menyertainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis menolak notis pemakluman penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia kerana maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.
Perkara itu dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bahawa penganjur tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebelum itu juga, Dewan Rakyat diberitahu bahawa himpunan yang dijangka disertai 10,000 penyokong pada sambutan Hari Malaysia, 16 September itu tidak akan 'menggoncangkan' kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!