Tiga warga emas maut: Keluarga terkejut tapi reda
PONTIAN - Keluarga Allahyarham Indok Akok Sitakak, 89, Tahallah Abdul Fatah, 62, dan Fatimah Ismail, 66, reda dengan pemergian ketiga-tiga warga emas berkenaan biarpun mengakui terkejut dengan nahas yang meragut nyawa mereka, petang Khamis lalu.
Tinjauan Sinar Harian di rumah Allahyarham Indok di Kampung Parit Kerimon, Benut di sini, pada Jumaat mendapati ahli keluarga berada dalam keadaan tenang dan menyifatkan perkara yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi.
Rosnah Abd Fatah, 58, berkata, pada hari kejadian dia juga menerima perkhabaran mengenai kematian anak abang nombor duanya di Segamat.
Susulan itu Rosnah berkata, ibunya, Indok Akok bersama kakak, Tahallah dan Fatimah (kakak ipar), membuat keputusan untuk menziarahi mereka.
Menurutnya, mereka menaiki kereta dipandu salah seorang cucu lelaki Allahyarham selain turut dinaiki oleh tujuh ahli keluarga yang lain.
"Mereka sebenarnya nak melawat rumah abang saya di Felda Pemanis, Segamat, sebab anaknya meninggal dunia dipercayai akibat barah.
"Bagaimanapun pada sebelah petang dalam jam 5, adik saya telefon katanya emak kemalangan teruk," katanya.
Tambah adiknya, Zainah Abd Fatah, 51, dia dimaklumkan semua mangsa ketika itu dihantar ke Hospital Segamat.
Malah katanya, dia turut terkejut apabila dimaklumkan, ibunya telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
"Kejadian (kemalangan) tu dalam jam lima lebih...bila hubungi kakak saya mereka kata tak dapat info lanjut lagi.
"Selepas itu saya dapat berita bila ipar saya kata semua mangsa ada kat hospital sekarang dan bila waktu Maghrib baru lah dia maklumkan mak dah tak ada," katanya.
Sementara itu, cucu menantu Allahyarham Indok Akok, Ahmad Syafiq Jaafar, 35, berkata, nahas berkenaan memang mengejutkan mereka sekeluarga memandangkan mereka baru berkumpul dan menghabiskan cuti Hari Kebangsaan baru-baru ini.
"Baru dua minggu lepas kami semua balik. Mungkin itu hajat arwah, masa (cuti) merdeka tu ramai yang balik berkumpul, borak-borak macam biasa... tapi saya nampak dia banyak diam dan tak banyak cakap macam selalu.
"Tapi itulah moment (detik) terakhir kami bersama dan tapi berita (nahas) ini memang mengejutkan kepada keluarga besar kami," katanya.
Dalam kejadian petang semalam, Indok Akok, Tahallah dan Fatimah meninggal dunia selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka bersama 10 ahli keluarga dirempuh Toyota Hilux ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kerimun, Benut, Pontian.
Tiga mangsa lain yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu masih dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!