SCSB menang dua emas, satu perak
SACC Convec Sdn Bhd (SCSB) telah mencatatkan sejarah apabila berjaya memenangi dua pingat emas dan satu perak di pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang diadakan di Kuala Lumpur.
SCSB dalam satu kenyataan berkata, beberapa syarikat di bawah SCSB telah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan sepanjang tiga hari tersebut dengan menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam menghasilkan produk halal berkualiti tinggi.
“Kemenangan pingat emas pertama telah dimenangi oleh Westside Coffee untuk cabaran Nasi lemak moden yang diadakan pada 13 September. Kemenangan pingat emas kedua pula diperolehi menerusi Pusat Konvensyen Shah Alam untuk cabaran Asam Pedas moden yang diadakan pada 14 September.
“Pingat perak pula dimenangi menerusi cabaran Nasi Lemak asli pada 15 September,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, anugerah yang diterima di Mihas menunjukkan SCSB bukan sahaja peneraju sektor makanan halal tetapi juga perintis dalam memajukan standard pengeluaran halal.
“Kesungguhan syarikat terhadap standard dan inovasi halal telah diiktiraf dengan memperolehi pingat emas dalam beberapa pertandingan yang disertai.
“Syarikat akan terus berinovasi dan menyediakan produk halal yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Cef Fairus dari Wesside Coffee berkata, kemenangan itu adalah peluang terbaik untuk mempamerkan keupayaan, kemahiran dan kreativiti mereka sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor halal.
Mihas telah dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bermula 13 hingga 15 September 2023.
Mihas adalah pameran perdagangan halal terbesar di dunia yang terkenal kerana menyatukan pemimpin industri, usahawan, dan inovator dari seluruh dunia untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan halal terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!