Nahas Elmina: Kotak perakam suara beri petunjuk kritikal
SHAH ALAM - Analisis awal terhadap rakaman kotak perakam suara kokpit (CVR) yang dipulihkan telah memberikan petunjuk kritikal kepada pendedahan punca kemalangan.
Berdasarkan laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dikeluarkan pada Jumaat, tumpuan seterusnya akan diberikan untuk menganalisis sistem kawalan penerbangan pesawat.
“Hasil pemeriksaan bahagian pesawat yang berkaitan masih belum selesai. Sebahagian daripada komponennya kini berada di makmal NTSB (Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara) dan OEM (Makmal Pengilang Peralatan Asal).
“Ia diperlukan dalam penyediaan laporan dan bukti konklusif dalam menentukan punca kemalangan.
“Jadi, punca dan faktor pesawat itu terhempas beserta cadangan keselamatan hanya akan dimasukkan dalam laporan akhir,” menurut laporan berkenaan yang dimuatnaik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT).
Terdahulu, MOT dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan akhir nahas pesawat itu akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.
Menurutnya, ia selaras dengan standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.
Laporan awal yang dikeluarkan pada Jumaat adalah bagi memenuhi standard Annex 13 kepada ICAO Annex 13 yang memerlukan penyediaan laporan dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.
Laporan itu mengandungi pernyataan fakta dan penemuan awal yang telah ditentukan sehingga waktu penerbitan.
MOT menyatakan, ia harus dianggap sebagai tentatif dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!