Iltizam SWCorp bersihkan persekitaran
World Cleanup Day 2023 dipenuhi pelbagai pengisian menarik
CYBERJAYA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meneruskan iltizamnya untuk menjadi peneraju utama dalam usaha mendidik serta memberikan kesedaran kepada masyarakat negara ini mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.
Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), usaha itu merupakan antara teras objektif SWCorp untuk memastikan rakyat hidup dalam persekitaran yang bersih, indah dan sejahtera di samping memelihara khazanah alam untuk generasi depan.
Bagaimanapun katanya, usaha menjaga kebersihan alam sekitar dan warisan alam itu dapat dicapai sepenuhnya dengan penglibatan semua peringkat masyarakat di negara ini.
“SWCorp berkeyakinan kesepaduan, kesepakatan dan kekitaan dalam menjaga alam sekitar tanpa mengira latar belakang, umur, agama dan bangsa akan memberikan manfaat kepada rakyat di negara ini secara berterusan,”katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Komitmen SWCorp itu dinyatakan oleh Kah Woh selaras dengan penganjuran program World Cleanup Day 2023 yang diadakan serentak di seluruh dunia pada 16 September ini.
Menurutnya, SWCorp merupakan antara agensi utama di Malaysia yang menyahut serta melaksanakan program ini yang diadakan setiap tahun dan kali ini pihaknya akan mengadakannya pada 16 hingga 24 September di seluruh negeri melibatkan aktiviti-aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa.
“Pembersihan kawasan melibatkan lokasi seperti kawasan awam, kawasan rekreasi, taman perumahan, institusi pendidikan dan mana-mana lokasi yang bersesuaian dan menepati keperluan untuk pelaksanaan program ini.
“Audit sisa pula merupakan satu komponen signature dalam World Cleanup Day di mana sisa yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori dan ditimbang bagi mengenalpasti jenisnya yang banyak dibuang di persekitaran,”jelasnya.
Tambah Kah Woh, data yang diperoleh daripada aktiviti audit sisa dalam program World Cleanup Day 2023 itu akan dilaporkan kepada badan antarabangsa iaitu ‘Let’s Do It World’ manakala data lokasi pelaksanaan akan dinilai bagi mengenalpasti tabiat pengurusan sisa pepejal oleh masyarakat di tempat awam.
“Ia melibatkan (maklumat) jenis-jenis sisa yang banyak dibuang, jumlah kerugian akibat kegagalan mengitar semula sampah dan jumlah jejak karbon yang boleh dihindari,” katanya lagi.
Sasar 13,000 sukarelawan
Sementara itu, Kah Woh berkata, SWCorp menyasarkan penglibatan 13,000 sukarelawan dengan 300 lokasi pembersihan dalam program World Cleanup Day 2023 berbanding tahun lalu yang mencatatkan bilangan 12,629 sukarelawan serta 272 lokasi pelaksanaan.
“Setakat ini, kami telah menerima penyertaan 259 lokasi dan melibatkan 149 agensi. Kami optimis sasaran ini akan dicapai berikutan kejayaan pelaksanaan SWCorp pada tahun 2022 dan tahun-tahun sebelumnya,” jelas beliau.
Pada tahun 2022, Kah Woh memaklumkan bahawa pihaknya telah berjaya merekodkan aktiviti pembersihan dalam program tersebut merangkumi 53 lokasi di agensi-agensi kerajaan, agensi swasta (22 lokasi), badan bukan kerajaan (33 lokasi), institusi pengajian tinggi (39 lokasi) serta di sekolah rendah dan menengah sebanyak 67 lokasi.
Pada masa sama, 58 lagi lokasi turut direkodkan dalam program tersebut pada tahun lalu melibatkan kawasan pejabat operasi cawangan-cawangan SWCorp serta syarikat-syarikat konsesi.
“Daripada kesemua lokasi tersebut, sebanyak 107,296.84 kilogram (107.3 tan metrik) sisa berjaya dikumpul serta diasingkan mengikut kategori,”katanya.
Beliau berkata, antara kategori yang mencatatkan peratusan berat kutipan tertinggi ialah sisa kebun, kertas boleh dikitar semula, plastik tegar, besi dan aluminium, tekstil dan sisa makanan.
Mengulas lanjut mengenai program World Cleanup Day 2023, Kah Woh memaklumkan ianya terbuka kepada semua pihak seperti mana penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, bagi agensi-agensi dan individu yang berminat, mereka boleh menganjurkan sambutan World Cleanup Day di lokasi masing-masing dengan mendaftarkan maklumat pelaksanaan di laman sesawang Sukarelawan Hero Kebersihan, https://sukarelawan.swcorp.my/ yang telah dibuka pada 15 Ogos lalu dan akan ditutup pada 24 September ini.
“Mereka juga perlu menyelaras permohonan sukarelawan, melaksanakan aktiviti pembersihan dan audit sisa seterusnya menyerahkan laporan hasil pelaksanaan kepada kami. Agensi-agensi yang menyertai World Cleanup Day sebagai penganjur juga akan menerima sijil penyertaan dan surat penghargaan,”kata Kah Woh.
Hadiah menarik
Bagi memeriahkan lagi program World Cleanup Day 2023, Kah Woh memberitahu pihaknya menyediakan hadiah yang menarik kepada para peserta dengan nilai keseluruhan sebanyak RM22,600 untuk dimenangi.
Katanya, pada tahun ini, SWCorp memperkenalkan dua kategori pertandingan iaitu Agensi Terbaik dan Momen Terbaik.
“Bagi kategori Agensi Terbaik, ia terbuka kepada agensi penganjur melibatkan tujuh sub-kategori iaitu agensi kerajaan, agensi swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi serta sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Pemenang setiap kategori akan memenangi wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.
“Penilaian bagi kategori ini dibuat berdasarkan kaedah penganjuran yang menepati kriteria penganjuran World Cleanup Day serta laporan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi kategori Momen Terbaik pula katanya, penilaian akan dibuat berdasarkan gambar-gambar menarik yang dimuat naik oleh para peserta di media sosial.
“Seramai 10 pemenang utama akan menerima e-wallet Touch ‘n Go (TnG) berjumlah RM100 manakala 20 pemenang saguhati akan menerima e-wallet TnG berjumlah RM30,” katanya.
Dalam pada itu, Kah Woh turut memaklumkan bahawa SWCorp telah mengenalpasti 45 lokasi penganjuran program World Cleanup Day 2023 dengan sasaran penglibatan 4,500 orang sukarelawan di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Selain itu, satu sambutan World Cleanup Day turut dilaksanakan di Pantai Bagan Lalang, Selangor anjuran ibu pejabat SWCorp dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang.
“Orang ramai dijemput ke Pantai Bagan Lalang pada 17 September ini untuk bersama-sama memeriahkan World Cleanup Day bermula pukul 7 pagi. Kita sediakan pelbagai pengisian dan aktiviti yang menarik,”ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!