9 lagi mangsa nahas masih dirawat di Hospital Segamat
SEGAMAT - Sembilan mangsa nahas melibatkan tiga kereta di Kilometer 167, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran dengan Tenang Stesen, Labis, dekat sini, semalam, masih menerima rawatan di Hospital Segamat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 5.40 petang itu, membabitkan Perodua Alza, Toyota Hilux dan Honda Jazz, turut mengakibatkan tiga wanita warga emas berusia 62, 66 dan 89 tahun, maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mereka yang dirawat di hospital itu terdiri daripada pemandu dan enam penumpang Perodua Alza, berusia antara setahun hingga 38 tahun.
"Turut cedera dan menerima rawatan di situ adalah pemandu dan penumpang Toyota Hilux. Bagaimanapun, pemandu serta penumpang Honda Jazz tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Zamry berkata, hasil siasatan mendapati Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan menghala ke Segamat dari Johor Bahru, cuba menukar lorong daripada lorong kanan ke lorong kiri.
Ketika menukar lorong, pemandu berkenaan gagal masuk sepenuhnya ke lorong kiri jalan dan telah dilanggar dari arah belakang sebelah kiri oleh Honda Jazz yang sedang bergerak di lorong kiri tersebut, katanya.”Akibat pelanggaran itu, Toyota Hilux telah terbabas ke arah jalan bertentangan lalu melanggar Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.
"Tiga penumpang Perodua Alza (tiga wanita warga emas) yang duduk di bahagian belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ahmad Zamry.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Benut, Pontian, petang ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Segamat di talian 07-932 5811. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!