Seniman gesa gantung atau tarik lesen produksi Mentega Terbang

Hafiz Nafiah
Hafiz Nafiah
A
A
A

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menggesa dan mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menggantung atau menarik lesen syarikat produksi yang menerbitkan filem kontroversi, Mentega Terbang.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Seniman berharap Finas dapat mengambil tindakan bersesuaian terhadap dalang dalam pembikinan filem arahan sutradara muda, Khairil Anwar itu.

"Ini bagi memberikan isyarat jelas kepada semua pihak bahawa tidak ada tolak ansur dalam pembikinan karya yang menyentuh isu-isu 3R (agama, kaum dan raja) di negara ini termasuk isu yang membabitkan akidah," katanya.

Sebelum itu, Hafiz telah membuat satu laporan polis terhadap penerbit filem Mentega Terbang iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment atas dakwaan karya itu menghina Islam dengan kandungan berbaur hasutan di Balai Polis Dang Wangi pada 3 Mac lalu.

Dua hari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan tayangan dan publisiti filem indie tempatan, Mentega Terbang.

Perintah itu dibuat menerusi Warta Kerajaan P U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 dan ditandatangani Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

"Seniman mengambil maklum dan menyambut baik mengenai Perintah Penapisan Filem (larangan) 2023 yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk membuat perintah larangan kepada filem Mentega Terbang.

"Sehubungan dengan keputusan Menteri Dalam Negeri di bawah undang-undang, Seniman memohon agar pihak Finas mengambil tindakan susulan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir kenyataannya, Hafiz berkata, pihaknya tidak akan keberatan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menghasilkan kandungan yang tidak sensitif terhadap isu keagamaan, bangsa dan budaya di negara ini.

Sebelum ini, Mentega Terbang tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Antara yang menjadi kontroversi dalam filem pendek berdurasi 45 minit itu adalah keterbukaan seorang bapa yang tidak menghalang anaknya memilih agama dan kenyataan itu jelas bertentangan dengan Islam.