471 saman dikeluarkan dalam Op Khas Motosikal di Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 471 notis saman dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini, pada Khamis.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan dalam operasi bermula 9 pagi hingga 11 malam itu, pihaknya turut menyita 25 motosikal atas pelbagai kesalahan.
"Operasi tersebut dilaksanakan di Jalan Perusahaan Perai, Plaza Tol Sungai Nyiur dan Plaza Tol Jawi di kawasan seberang serta Jalan Air Itam di bahagian pulau.
"Tujuan penguatkuasaan ini untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan penunggang atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama JPJ Pulau Pinang memaklumkan turut mengambil tindakan terhadap 52 penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan berhenti ketika isyarat lampu merah menerusi Op Merah di Butterworth.
Menurut kenyataan itu, dalam operasi dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB ) jabatan tersebut, 19 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan lain seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tidak pakai topi keledar.
"Selain itu, 26 motosikal dan sebuah kereta persendirian dipandu warga asing turut disita kerana pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!