Thailand: Pita letak jawatan sebagai Ketua Parti Move Forward

Pita Limjaroenrat
Pita Limjaroenrat
A
A
A

BANGKOK - Pita Limjaroenrat meletak jawatan sebagai Ketua Parti Move Forward (MFP) bagi memberi laluan kepada ketua baharu untuk membawa suara pembangkang di Parlimen.

MFP yang diketuai lelaki berusia 43 tahun itu telah memenangi 151 kerusi pada Pilihan Raya Umum 14 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau telah digantung tugas sebagai Ahli Parlimen (MP) oleh Mahkamah Perlembagaan pada Julai.

Pita menerusi akaun media sosial berkata, di bawah perlembagaan semasa, ketua pembangkang mestilah seorang Ahli Parlimen.

"Saya masih digantung tugas dan saya tidak boleh melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen serta ketua pembangkang di Parlimen dalam masa terdekat.

"Oleh itu, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua parti MFP dan parti akan memilih dari kalangan Ahli Parlimen untuk menjadi ketua pembangkang yang baharu,” tulisnya.

Pita memberi jaminan bahawa beliau akan kekal bersama MFP dan berbakti untuk rakyat.

"Tidak kira status saya, saya tidak akan ke mana-mana. Saya akan bekerja dengan kudrat dan kebolehan terbaik saya untuk memacu agenda perubahan yang kita mahu bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pita adalah satu-satunya calon perdana menteri MFP tetapi gagal dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri Thailand kerana gagal memperoleh sokongan yang mencukupi di parlimen pada Julai.

Selepas itu, Mahkamah Perlembagaan mengarahkan kelayakan Pita sebagai MP digantung sementara.

Keputusan mahkamah itu dibuat selepas Pita didakwa tidak layak bertanding jawatan kerana memegang saham dalam sebuah syarikat media ketika mendaftar pencalonannya untuk pilihan raya umum 14 Mei lalu.

Di bawah perlembagaan Thailand, Ahli Parlimen dilarang memiliki saham media. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!