Tiga tuntutan himpunan, termasuk dakwa Zahid semula - Tun Faisal
KUALA LUMPUR - Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di ibu negara pada Sabtu membuat tiga tuntutan kepada kerajaan.
Menurut Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, antara tuntutan tersebut adalah meminta kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
"Sebagai permulaan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia pada esok di Kampung Baru, sekretariat ini ada tiga tuntutan kepada kerajaan.
"Pertama kita setuju bahawa kita mahu kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi.
"Kedua, kita mendesak agar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan daripada kuasa eksekutif, dan ketiga kita minta dan desak undang-undang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia... jangan ada dwi-standard," jelasnya dalam satu sidang media Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di ibu negara pada Jumaat.
Tambah Tun Faisal lagi, kesemua tuntutan itu sebagai permulaan himpunan yang akan menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik yang cintakan integriti di negara ini.
Sementara itu, Peguam yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali pula menegaskan himpunan berkenaan akan tetap diteruskan meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjur.
"Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 Seksyen 9 hanya pemakluman mencukupi, adakah penganjur telah buat pemakluman, ya telah dibuat.
"Adakah sebarang kuasa dari segi undang-undang pihak berkuasa membatal dan menolak perhimpunan tersebut? Tidak ada.
"Apa rakyat harus sedar sekarang... kita berada dalam satu keadaan amat genting, di mana undang-undang harus adil kepada semua," katanya.
Mengulas mengenai penolakan permohonan penganjur himpunan terbabit, jelas Muhammad Rafique, PDRM seharusnya menjadi pemudah cara bagi setiap perhimpunan aman yang ingin dianjurkan rakyat.
"Kalau perhimpunan sebelum ini dibenarkan secara aman, maka seharusnya perhimpunan sebegini yang nama dijenamakan sebagai aman dijalankan.
"Pihak PDRM dibawah undang-undang APA 2012, tugas PDRM hanya sebagai pemudah cara," ujarnya lagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!