Gangguan air di Bangsar: Pejabat Fahmi Fadzil bantu lunaskan bil

Fahmi Fadzil (kanan) ketika bertemu pihak pengurusan tertinggi Air Selangor untuk mendapatkan taklimat dan penjelasan kenapa paip di Jalan Maarof itu pecah sehingga lima kali dalam tempoh yang sangat singkat. - Foto FB Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil (kanan) ketika bertemu pihak pengurusan tertinggi Air Selangor untuk mendapatkan taklimat dan penjelasan kenapa paip di Jalan Maarof itu pecah sehingga lima kali dalam tempoh yang sangat singkat. - Foto FB Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai akan membantu membayar bil air bulan ini bagi 500 rumah di Taman Bangsar yang mengalami gangguan bekalan air, akibat paip pecah di Jalan Maarof, awal bulan ini.

Khabar gembira itu dimaklumkan ahli Parlimen kawasan itu Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Digital dalam hantaran terbaharunya di Facebook pada Jumaat

"Saya turut minta Air Selangor mantapkan komunikasi komuniti mereka, termasuk bekerjasama dengan Jabatan Penerangan dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk salur info kepada masyarakat.

"Insya-ALLAH satu sesi temu rakyat akan diadakan tak lama lagi melibatkan Air Selangor, penyedia perkhidmatan utiliti lain dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendengar isu dan masalah rakyat khususnya penduduk Bangsar agar dapat diutama dan diselesaikan pihak berwajib,” katanya.

Fahmi berkata, insiden paip pecah di Jalan Maarof itu telah berlaku sehingga lima kali dalam tempoh yang singkat dan berikutan itu, beliau bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi Air Selangor beberapa hari lepas bagi mendengar taklimat dan penjelasan.

"Pihak Air Selangor menjelaskan bahawa kerja-kerja penggantian paip di Jalan Maarof telah menyaksikan tekanan tinggi mengakibatkan paip lama pada jajaran itu pecah.

"Akhirnya, isu tekanan ini telah berjaya diatasi dan difahamkan sehingga kini tiada lagi insiden paip pecah di lokasi tersebut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!