'90,000 rakyat dijangka berhimpun di masjid'
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menjangkakan hampir 80,000 hingga 90,000 rakyat Malaysia akan hadir ke masjid di seluruh negara bagi memeriahkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada jam 9 malam ini.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dia telah mengarahkan semua pergerakan UMNO di semua peringkat sama ada negeri dan bahagian untuk hadir ke majlis berkenaan sempena sambutan Hari Malaysia.
“Kita ada 191 bahagian di seluruh negara, kalau satu bahagian pun dapat penyertaan 1,000 orang, kita sudah ada 191,000. Jadi ambil separuh, misalnya 500 hadir kita ada 80,000 hingga 90,000 orang.
“Lagipun, respons yang diterima daripada peringkat bahagian sangat positif. Lebih baik buat solat hajat dan bacaan Yasin berbanding berhimpun di jalanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Khamis, Pemuda UMNO mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Islam untuk berhimpun di masjid seluruh negara pada Sabtu ini.Muhamad Akmal berkata, buat sesuatu perkara biarlah menguntungkan rakyat bukannya orang politik semata-mata.
“Oleh itu, diharapkan orang ramai akan turut padang bagi mengimarahkan masjid. Saya juga turut menjemput pemuda Pas dan Perikatan Nasional untuk bersama-sama dengan kami.
“Semoga rakyat boleh menilai pemimpin mana yang mementingkan kebajikan masyarakat sekali gus memberi keamanan dan kestabilan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!