'Buang brek belakang, alasan konon mahu laju'

Antara motosikal yang disita dalam operasi JPJ Kuala Lumpur kerana ubah suai brek belakang. Foto: JPJ Kuala Lumpur.
Antara motosikal yang disita dalam operasi JPJ Kuala Lumpur kerana ubah suai brek belakang. Foto: JPJ Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahu laju dan hendak berlumba antara alasan diberi penunggang motosikal selepas ditahan di sekitar ibu negara kerana mengubah suai motosikal tanpa menggunakan brek belakang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, Operasi Khas Motosikal bermula dari 1 September hingga Jumaat ini bertindak menyita 167 motosikal.

"Antara motosikal yang paling banyak disita adalah jenis Yamaha Y135 LC dan Yamaha Y15ZR.

"Motosikal ini disita kerana lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh, tidak pamer nombor pendaftaran, tiada lesen memandu serta tiada sistem brek belakang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, sitaan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, berdasarkan keterangan yang diambil terhadap penunggang, pelbagai alasan diberi mereka apabila membuat pengubahsuaian motosikal terutama tidak menggunakan brek belakang.

"Ada yang berkata disebabkan hendak meringankan motor supaya bertambah laju untuk berlumba," ujarnya.

Tambahnya, operasi ini dilaksanakan bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah dibawahnya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu juga, penguatkuasaan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran kepada penunggang serta pembonceng motosikal betapa pentingnya memastikan keselamatan semasa berada di jalan raya dan mematuhi undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!