Sistem mata baharu tahun depan - ISTAF
PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) meluluskan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya bagi semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw berkuat kuasa pada 2 Februari tahun depan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan tersebut dibuat semasa Persidangan ISTAF sempena Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai di Korat, Thailand pada 15 Julai lalu.
“ISTAF memutuskan dan meluluskan penggunaan sistem pengiraan baharu yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 2 Februari 2024 (selepas enam bulan dari tarikh kelulusan) untuk semua kejohanan sepak takraw.
“Ia bagi memberi masa yang cukup kepada pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri serta menerima pakai sistem baharu itu untuk kekal berdaya saing di semua peringkat pertandingan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkata, ISTAF menolak penggunaan sistem baharu di Sukan Asia Hangzhou 2022, China disebabkan kesuntukan masa, selain bimbang akan menjejaskan tumpuan pemain dan jurulatih pasukan setiap negara.
“Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk dilangsungkan, jadi adalah tidak adil kepada pemain dan pasukan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Semua perubahan besar dalam peraturan permainan sepak takraw hanya perlu diterima pakai selepas enam bulan daripada penerimaan dan kelulusan cadangan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!