Kumpulan baju merah batalkan hasrat - Jamal

JAMAL
JAMAL
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan baju merah membatalkan hasrat untuk turun ke lokasi Himpunan Selamatkan Malaysia yang digerakkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan bukan kerajaan di ibu negara pada Sabtu selepas meneliti semula motif perhimpunan itu diadakan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, perhimpunan yang ingin dibuat itu jelas tidak bermanfaat serta mendatangkan kesusahan kepada pihak lain terutamanya peniaga.

"Setelah kami berbincang (antara ahli kumpulan) didapati motif mereka hanyalah untuk mensensasikan isu tersebut dan ingin menghasut rakyat dengan niat ingin meraih publisiti semata-mata.

"Jadi, kami memutuskan untuk tidak terikut-ikut dengan kebodohan mereka dan kalau betul mereka hendak buat di Kampung Baru, Kuala Lumpur, biarlah mereka buat dua hari satu malam supaya banyak lagi fitnah dan kebohongan buat dibuat.

"Biarlah mereka hendak berguling-guling di sana yang penting kumpulan baju merah tidak akan terlibat," katanya kepada Sinar Harian.

Jamal yang juga ketua kumpulan baju merah berkata demikian ketika ditanya sama ada akan meneruskan atau sebaliknya hasrat untuk menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara pada Sabtu.

Menurut Jamal, rakyat juga dinasihatkan supaya tidak mengikuti perhimpunan yang tidak mendatangkan faedah itu.

Jelasnya, adalah lebih baik untuk semua pihak menggunakan hari bercuti sempena Hari Malaysia bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kita boleh menyuarakan pandangan tetapi sebagai rakyat yang bijak, janganlah kita cemari hari bermakna (Hari Malaysia) dengan menyertai demonstrasi yang membuang masa itu," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!