Sabah kempunan bawa bekalan selesa di Stadium Likas
SABAH FC gagal memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri apabila hanya mampu mengikat Perak FC 2-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Likas malam Jumaat.
Skuad Badak bermula garang apabila pemain penyerang Darren Lok memperoleh gol seawal minit ketiga apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gol pasukan lawan T Shaheeswaran.
Pasukan pelawat bangkit menyeimbangkan keadaan dan tidak menunggu lama bagi merapatkan jurang apabila rembatan kencang pemain import Luciano Guaycochea menewaskan penjaga gol tuan rumah Khairul Fahmi Che Mat pada minit kesembilan.
Rentak permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan namun gagal menembusi gawang gol lawan masing-masing sebelum kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sabah tidak menunggu lama untuk mendahului pihak lawan apabila tandukan Ramon Machado hasil hantaran Saddil Ramdani berjaya menewaskan penjaga gol Perak menjadikan kedudukan 2-1 pada awal minit pertama separuh masa kedua.
Namun kegembiraan penyokong tuan rumah tidak kekal lama apabila skuad The Bos Gaurus berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 hasil rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor dan keputusan kekal sehingga tamat masa kedua.
Suku akhir kedua di antara Sabah FC dan Perak FC dijadualkan pada 25 September ini di Stadium Perak, Ipoh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!