Jin Wei kejutan pilihan keenam di Terbuka Hong Kong
PEMAIN badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dipaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pilihan keenam dari China, Han Yue untuk mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong, pada Jumaat.
Jin Wei yang berstatus nombor ke-34 dunia menewaskan pemain ranking kesembilan dunia berkenaan, 12-21, 21-17, 21-18 di Hong Kong Coliseum, Kowloon dalam masa 52 minit.
Bekas juara remaja dunia itu akan berdepan seorang lagi pemain China Zhang Yi Man di separuh akhir yang mengetepikan cabaran rakan senegara Wang Zhi Yi, 21-17 dan 21-17.
Turut mara pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang menewaskan wakil Denmark, Magnus Johannesen 21-18, 21-12.
Menanti pemain di ranking ke-20 dunia itu pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie yang menewaskan pemain Taiwan, Lee Chia Hao 21-19, 21-18.
Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga mara selepas mengetepikan cabaran gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-10, 21-18.
Pilihan keempat kejohanan itu akan bertemu pasangan tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang mengejutkan pilihan kedua dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 19-21, 21-9, 21-11.
Nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 18-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!