[VIDEO] Hidangan eksotik sate siput gondang tarik pelanggan

A
A
A

KUALA NERUS - Walaupun spesies siput gondang emas dikenali sebagai haiwan perosak tanaman, lain pula ceritanya bagi siput gondang hitam yang dikatakan mempunyai khasiat tersendiri dan sebagai sumber makanan berprotein tinggi.

Makanan 'orang-orang lama' itu kini dikomersialkan oleh seorang pemuda dari Padang Negara, Batu Buruk dekat sini dengan diolah menjadi sate gondang bakar serta diproses dalam bentuk kapsul untuk manfaat kesihatan.

Penternak siput, Mohd Zulfikar Ismail, 32, berkata, dia mula menjual sate gondang di dataran jambatan angkat dekat sini sejak minggu lalu dan hanya beroperasi pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu bermula jam 5.30 petang hingga 12 tengah malam.

"Siput gondang ni terkenal sebagai makanan orang-orang tua dahulu dan saya mempopularkan kembali makanan ini memandangkan ia mempunyai khasiat terutama dalam menyembuhkan penyakit buasir.

"Saya mula jual siput gondang sebab pengalaman saya sendiri yang pernah alami buasir pada 2014. Waktu tu emak sarankan saya amal makan siput gondang. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT penyakit tu semakin berkurangan dan saya kini sembuh sepenuhnya.

"Dengan kuasa ALLAH SWT juga ramai pelanggan-pelanggan saya yang menunjukkan perubahan positif dan sembuh daripada penyakit buasir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Zulfikar menunjukkan sipu gondang bakar saiz besar yang turut dijual di gerainya di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus. Sate siput gondang (kanan) yang dijual pada harga RM2 setiap sebatang di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus.
Mohd Zulfikar menunjukkan sipu gondang bakar saiz besar yang turut dijual di gerainya di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus. Sate siput gondang (kanan) yang dijual pada harga RM2 setiap sebatang di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus.

Menurut Mohd Zulfikar, sate siput gondang yang dijualnya itu mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan yang berkunjung ke lokasi perniagaan itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur sebab sambutan terhadap sate gondang amat memberangsangkan. Hari pertama jualan saya sediakan sebanyak 150 cucuk sate, hari kedua 200 cucuk dan hari ketiga 300 cucuk serta 150 biji gondang bakar bersaiz besar.

"Dari segi harga pula kita jual RM2 untuk satu cucuk sate gondang dan sate kerang, RM5 untuk gondang bakar saiz sederhana dan RM7 bagi gondang bakar saiz besar serta RM1 untuk nasi himpit," katanya.

Selain siap dimasak, Mohd Zulfikar memberitahu, dia turut menjual siput gondang hidup dengan harga RM15 untuk sekilogram dan siap proses pada harga RM75 bagi kuantiti yang sama.

Katanya, setiap hari dia akan menghantar 50 hingga 100 kg gondang kepada pelanggan melalui ejen-ejen jualan di Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan selain turut menghantar bekalan 'raja siput air tawar' itu sehingga ke Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Siput gondang hitam ni payah nak dapat berbeza dengan gondang emas mudah dapat sebab habitatnya dalam sawah padi. Gondang hitam saiz besar ni hanya tinggal di paya, sungai dan kawasan pelepah sawit yang berair dan lembap sahaja.

"Kita sudah ada pelanggan tetap dan mahu siput gondang dikenali sehingga ke seluruh negara. Disebabkan stok terhad saya bersama pekerja cari sehingga ke daerah Kemaman, Jerantut, Pahang; di Kelantan atau dimana-mana lokasi yang ada habitat siput ini," katanya yang kini mempunyai seramai 18 pekerja.

Mohd Zulfikar (tengah) bersama pekerjanya yang menjual sate siput gondang di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus.
Mohd Zulfikar (tengah) bersama pekerjanya yang menjual sate siput gondang di dataran jambatan angkat di Kuala Nerus.

Mengakui pulangan hasil jualan yang diterima lumayan, Mohd Zulfikar menyasarkan untuk mengusahakan ternakan siput gondang secara besar-besaran.

"Saya dah lama usahakan ternakan siput di kawasan rumah iaitu bermula pada 2016, sebelum tu saya hanya buat secara sampingan dan mula serius mengkomersialkan siput ini sejak lima tahun lalu iaitu pada 2019," ujarnya.

Sementara itu, menurut seorang pelanggan, Mohamad Noor Mohamad, 36, dari Kampung Beladau Selat, dia tidak pernah mencuba hidangan siput gondang sebelum ini.

"Ini kali pertama kali saya cuba siput gondang. Rasanya sedap tak lah rasa macam makan siput sangat.

"Bau siput pun tak ada. Bagi saya rasa siput gondang ni tak mengecewakan. Rasa macam sate ayam biasa pun ada juga," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Amir Izzat Aminuddin, 32, dari Seberang Takir berkata, dia telah beberapa kali mencuba siput gondang sebagai rawatan masalah buasir yang dialami dan tahap kesihatannya bertambah baik.

"Saya ada alami masalah buasir dah telah melakukan pembedahan. Setelah cuba makan siput ini sebelum ni saya rasa boleh tahan.

"Kali ni nak cuba lagi. Harap ia dapat bantu saya pulih daripada penyakit ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!