Libya bagai dilanda garuda

Sebahagian besar bandar Derna dan timur Libya diselaputi lumpur tebal.
Sebahagian besar bandar Derna dan timur Libya diselaputi lumpur tebal.
A
A
A

TRIPOLI - Usaha bantuan global untuk Libya dipergiatkan pada Khamis selepas banjir dahsyat seperti gelombang tsunami meragut sekurang-kurangnya 4,000 nyawa.

Ribut Daniel yang melanda akhir minggu lalu telah menenggelamkan bandar Derna dan mengakibatkan kemusnahan besar di negara itu setelah ia membadai Turkiye, Bulgaria dan Greece.

Beberapa kenderaan tersadai selepas dihanyutkan arus deras banjir pada awal minggu lalu.
Beberapa kenderaan tersadai selepas dihanyutkan arus deras banjir pada awal minggu lalu.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), kematian berskala besar itu sebenarnya boleh dielakkan jika sistem amaran awal dan pengurusan kecemasan berfungsi dengan baik di negara bergolak tersebut.

“Pemindahan segera penduduk boleh dilakukan jika usaha penyelarasan dibuat secara teratur dan ia sedikit sebanyak dapat meminimumkan angka korban.

“Konflik berlarutan di Tripoli sejak 2011 telah memberi impak kepada rangkaian pengawasan meteorologi dan sistem teknologi maklumat (IT),” kata ketuanya, Petteri Taalas.

Pasukan tentera Jordan memeriksa bantuan kemanusiaan yang bakal diterbangkan ke Tripoli.
Pasukan tentera Jordan memeriksa bantuan kemanusiaan yang bakal diterbangkan ke Tripoli.

Ketika ini ratusan beg mayat membanjiri laluan yang berselut di Derna dan menunggu masa untuk dikebumikan secara beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan penduduk masih trauma dengan insiden tersebut yang telah memusnahkan harta-benda, selain mengorbankan nyawa orang tersayang.

Bagi mengurangkan beban penduduk terkesan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara Asia Barat serta Afrika Utara berganding bahu menghantar pasukan penyelamat dan bantuan kemanusiaan terdiri daripada keperluan asas termasuk khemah kecemasan serta bekalan ubat-ubatan.

PBB merayu dana bantuan berjumlah lebih AS$71 juta (RM332 juta) untuk membantu golongan terkesan 'malapetaka' itu.
PBB merayu dana bantuan berjumlah lebih AS$71 juta (RM332 juta) untuk membantu golongan terkesan 'malapetaka' itu.

Agensi bantuan bagaimanapun berdepan kesukaran untuk ke kawasan timur berikutan sebahagian besar jalan raya dan jambatan telah musnah.

Difahamkan, kira-kira 30,000 penduduk di Derna dan kawasan timur turut kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.

Seramai 10,000 lagi mangsa dilaporkan masih hilang setelah dihanyutkan arus deras atau tertimbus akibat banjir lumpur selama dua hari yang didakwa penduduk sehingga mencecah paras bangunan dua tingkat.

Angka korban dijangka boleh mencecah sehingga 20,000 orang.

Puluhan mayat mangsa dikumpulkan di tepi jalan sebelum proses pengebumian beramai-ramai.
Puluhan mayat mangsa dikumpulkan di tepi jalan sebelum proses pengebumian beramai-ramai.

Sebagai usaha untuk melancarkan misi bantuan tersebut, Turkiye menggesa kesemua pihak bertelagah supaya menamatkan kebuntuan politik.

“Ini adalah masa sesuai untuk perpaduan. Kesemua yang terjejas perlu menerima sokongan tanpa mengira pembahagian kawasan dan puak seperti dilaksanakan sebelum ini,” kata jurucakap pemerintah.

Mesir turut menghantar bantuan kemanusiaan untuk mangsa terjejas banjir di Libya.
Mesir turut menghantar bantuan kemanusiaan untuk mangsa terjejas banjir di Libya.

Ketika ini pakar iklim mengaitkan bencana dahsyat itu dengan impak fenomena pemanasan global yang diburukkan lagi oleh infrastruktur lemah di negara tersebut. - Agensi

Bantuan peralatan dihantar Persatuan Palang Merah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di bandar Benghazi.
Bantuan peralatan dihantar Persatuan Palang Merah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di bandar Benghazi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!