Terengganu buru bekalan selesa di laman sendiri
TERENGGANU FC (TFC) perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Selangor FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.
Malah tegas penolong pengendali TFC, Badrul Afzan Razali keputusan positif di laman sendiri itu penting sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 September.
“Perlawanan ini juga peluang terbaik para pemain Terengganu untuk menebus kekalahan 1-5 kepada Selangor dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super di Petaling Jaya pada 18 April lalu.
“Ya, untuk tujuan itu kami telah melakukan persediaan rapi untuk perlawanan berintensiti tinggi ini yang semua tahu kedua-dua pasukan merupakan pasukan pilihan di pusingan lapan terbaik ini.
“Pasukan setakat ini juga bebas kecederaan yang saya yakin kami mampu menurunkan kesebelasan terbaik berdepan Selangor,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pada masa sama Badrul Afzan juga mengingatkan para pemain skuad Penyu untuk tidak memandang mudah ancaman yang mampu diberikan anak buah Tan Cheng Hoe tersebut.
“Biarpun terdapat para pemain Selangor yang baharu menghabiskan tugasan bersama Harimau Malaya dan Harimau Muda, namun itu bukan alasan pasukan lawan tidak mampu memberikan tentangan sengit.
“Jadi saya amat harap setiap pemain Terengganu dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap perancangan pasukan ditambah dengan sokongan padu para penyokong Terengganu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!