Chelsea hadapi krisis kecederaan pemain

Mauricio Pochettino
Mauricio Pochettino
A
A
A

TIDAK terlibat dalam mana-mana kejohanan tertinggi di Eropah akan membantu Chelsea mengatasi masalah kecederaan serius dialami pasukan itu ketika ini.

Chelsea yang juga pemenang Liga Juara-Juara 2021 mengharungi kempen bergelora musim lalu dan menduduki tempat ke-12 dalam saingan Liga Perdana Inggeris bermakna mereka akan terlepas saingan Eropah musim ini.

Kelab London itu telah dilanda beberapa masalah kecederaan pada awal musim baharu, dengan pertahanan dan kapten Reece James, penyerang baharu Christopher Nkunku, pertahanan tengah Wesley Fofana dan Benoit Badiashile antara pemain utama diketepikan.

"Dengan keadaan itu, saya fikir lebih baik untuk kami (tidak bermain bola sepak di peringkat Eropah) kerana kami mempunyai 11 atau 12 pemain yang cedera.

“Saya fikir ia penting sekarang kita boleh pulih dan menjadi lebih berdaya saing.

"Tetapi, bagi Chelsea adalah penting untuk terlibat dalam saingan Eropah, tetapi itu bukan di tangan saya sekarang. Itulah realitinya. Yang pasti, kami akan terlibat dalam saingan Eropah musim depan," kata Mauricio Pochettino kepada pemberita dalam sidang akhbar pra perlawanan menentang Bournemouth.

Chelsea sekali lagi berada di tangga ke-12 dalam kedudukan EPL selepas hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan.

Walaupun mereka tewas di West Ham United dan Nottingham Forest baru-baru ini, Pochettino berkata pasukannya beraksi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Jika anda melihat data, saya fikir kami sangat bagus. Perkara yang kami hilang ialah menjaringkan gol merupakan salah satu perkara paling penting dalam bola sepak.

"Kami perlu bersaing dengan lebih baik. Ini proses membina pasukan. Yang pasti ia hanya menunggu masa. Saya mahu menang. Kami perlu menang. Masih terlalu awal untuk berputus asa atau mengatakan kami tidak akan mencapai apa yang kami lakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!