Rasuah projek kereta perisai: SPRM reman CEO, CFO syarikat
PUTRAJAYA - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar datuk dan seorang wanita yang juga ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat terbabit direman kerana disyaki menerima rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.
Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis setelah SPRM mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya manakala wanita berusia 53 tahun itu pula ditahan kira-kira jam 11.50 malam di lokasi sama ketika hadir memberi keterangan, semalam.
Sumber berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan sekitar 2014 sehingga 2017.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurutnya, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 dan dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut.
Dalam pada itu, katanya, beberapa saksi juga telah dipanggil hari ini dan tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!