Melaka mahu wujud litar RC di Tanjung Bidara

Ab Rauf (tiga, kanan) ketika melihat Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara pada Sabtu.
Ab Rauf (tiga, kanan) ketika melihat Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Lokasi parkir di Pantai Tanjung Bidara di sini, akan dibangunkan sebagai litar terbesar sukan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) bertaraf antarabangsa bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi menarik peminat sukan itu, bukan sahaja di Malaysia malah luar negara sekali gus bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Menurutnya, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berbincang supaya perancangan di atas tanah seluas 0.809 hektar dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menambahkan hab pelancongan sukan.

Katanya, pihak berkaitan akan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang trek dan kelengkapan kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

"Saya akan mencadangkan kawasan itu dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara.

"Kita lihat pada hari ini lebih 100 orang termasuk peserta yang hadir, dan ini merupakan hobi terbaik bagi memastikan anak-anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Khairul Adri Rosli.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengerusi penganjur, Anuar Tompang, 52, berkata, sebagai penduduk tempatan dia menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang mahu memberi limpahan rezeki kepada penduduk menerusi tapak trek baharu.

Menurutnya, meskipun trek di kampung itu sepanjang lebih 200 meter, namun dengan adanya kemudahan yang lebih lengkap, pelancong akan lebih ramai.

"Sedangkan pengajaran kecil ini banyak rumah inap desa dan chalet berdekatan tempat ini telah penuh disewa peserta.

"Bayangkan kalau penganjuran peringkat antarabangsa, lagi bertambah ramai pelancong di pusat peranginan Tanjung Bidara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!