Agong zahir ucapan Selamat Hari ATM ke-90

Tangkap layar ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 daripada Al-Sultan Abdullah di Facebook Istana Negara pada Sabtu.
Tangkap layar ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 daripada Al-Sultan Abdullah di Facebook Istana Negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-90 hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendoakan semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan dicurahkan seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan mereka yang pernah berkhidmat bersama ATM.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga perwira ATM yang telah terkorban semasa bertugas dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara," menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut catatan itu, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

"Syabas dan tahniah," menurut hantaran itu.

Hari ATM disambut setiap 16 September dengan tema sambutan tahun ini 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama'. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!