MAIM rai lima pasangan mualaf
MELAKA - Lima pasangan mualaf melalui detik bahagia selepas diraikan menaiki beca pada majlis Walimatul Urus anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Hotel Puteri Bay di Pantai Puteri dekat sini pada Sabtu.
Lebih menarik kesemua pasangan yang bersanding di dalam dewan turut menerima wang tunai berjumlah RM1,000, perkakas elektrik bernilai RM500 dan penginapan bermalam di hotel berkenaan.
Pasangan dari Tanjung Minyak, Nur Hanisah Rosli, 32, berkata, dia dan pasangannya Mohd Khair Lantob, 40, yang memeluk Islam pada Ogos lalu, terharu apabila tidak perlu mengeluarkan wang untuk perbelanjaan majlis kerana semuanya telah ditanggung pihak MAIM.
Menurutnya, sekurang-kurangnya wang hantaran yang diterima dapat digunakan untuk persiapan menyewa atau membeli rumah baharu dalam masa terdekat ini.
"Sangat membantu dan bersyukur kerana segalanya perbelanjaan ditaja oleh MAIM termasuk pakaian pengantin.
"Lebih meriah apabila ahli keluarga masing-masing turut hadir meraikan kami," katanya.
Bagi Agnes Rachel Jeliah Anak Mathew Ensok yang berasal dari Sibu, Sarawak, 20, berkata, dengan penyertaan ini mereka dapat berjimat kira-kira 80 peratus dan wang yang dikumpulkan sebelum ini digunakan untuk perbelanjaan keluarga.
Menurutnya, lebih-lebih lagi dia hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan manakala suaminya Mu'ammar Nuriqbal Sobri, 23, pula hanya bekerja sebagai pembantu dapur, jadi mereka perlu lebih berjimat cermat.
"Sangat membantu bagi kami pasangan yang baharu beberapa tahun bekerja, dengan majlis ini kami tidak perlu perbelanjaan besar termasuk majlis persandingan dan jamuan makan.
"Ini juga memberi persepsi saya sebagai mualaf bahawa Islam itu mudah dan tidak menyusahkan," katanya.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim, Pegawai Khas Agama MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud.
Sementara itu, Rosli berkata, MAIM akan menganjurkan Karnival Islamik yang dijadualkan pada 23 hingga 31 Disember depan yang turut diadakan sesi perkahwinan mualaf.
Menurutnya, akan ada pasangan mualaf yang akan diraikan secara beramai-ramai sekali gus membantu keluarga pasangan dan menjimatkan perbelanjaan pengurusan perkahwinan masing-masing.
"Dengan sambutan meriah ini kita akan adakan perkahwinan beramai-ramai sebagai salah satu acara menarik dalam karnival yang diadakan akhir tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!